INFO SEM


OBJEKTIF SEM
Menerusi aktiviti ini diharapkan pelajar-pelajar dapat:

1. Mendalami minat dan pengetahuan sedia ada serta menggunakan pemikiran kreatif dan kritis dalam menyelesaikan masalah.

2. Menggunakan teknik-teknik kemahiran belajar dan menjalankan penyelidikan secara saintifik dan sistematik.

3. Memperkembangkan kemahiran merancang eksperimen dan menganalisis data dalam menghasilkan satu kajian yang original serta bermutu tinggi.

4. Menunjukkan sikap bekerjasama, bertolak-ansur, menghormati pandangan orang lain dan komitmen terhadap tugas.

5.   Menjalankan kajian secara berdikari, sabar dan sentiasa bermotivasi tinggi.

6.  Menunjukkan kebolehan berkomunikasi dengan baik, boleh memberi pendapat dan mempertahankan idea berdasarkan hujah-hujah yang konkrit.


LANGKAH-LANGKAH  DALAM MENJALANKAN SEM


Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelajar-pelajar:
1. Mendapat pendedahan dan penerapan kemahiran Penyelidikan Saintifik (IPS) dalam elemen Kemahiran Akademik dalam slot P & P bagi pelajar tingkatan 2 & 4 pada semester 1.
2. Membentuk kumpulan berdasarkan minat dan kenalpasti tajuk yang diminatinya serta berusaha mencari maklumat lanjut mengenainya dan seterusnya mengisi Borang Pra-Pendaftaran sem.
3. Merancang kerja mengikut suatu jangkamasa tertentu. AJK SEM akan mengedarkan Panduan Perancangan Jadual Kerja/Masa untuk menyiapkan kajian.
4. Dengan bantuan guru penasihat, kumpulan pelajar mula menjalankan penyelidikan mengenai tajuk yang telah dipilih menggunakan pelbagai sumber. Beberapa persoalanan utama dan hipotesis kajian perlu dibentuk.
5. Menggunakan Kemahiran Insaniah (softskill) dan Kemahiran Akademik yang dipelajari seperti bagaimana menjalankan soal selidik, cara menemuduga, mencatat data dan menganalisis data.
6. Kumpulan pelajar perlu mewujudkan Buku Log (buku catatan/jurnal) serta mencatat setiap langkah yang telah diambil sepanjang kajian dijalankan. Perbincangan dengan guru penasihat perlu dibuat dari semasa ke semasa. Guru penasihat memberi maklum balas dan cadangan membina untuk membantu pelajar-pelajar.
7. Kumpulan pelajar perlu membuat pembahagian kerja dan menyiapkan tugasan masing-masing. Langkah-langkah berikut mungkin membantu pelajar menyiapkan kajian mereka, iaitu
a. mencari maklumat menggunakan internet, perpustakaan atau menghubungi pensyarah/pegawai yang berkaitan
b. merancang bentuk penyelidikan seperti melakukan eksperimen, membuat soal selidik dan lain-lain
c. menghubungi agensi berkaitan untuk menjalankan kajian di tempat mereka.
8. Untuk melengkapkan kajian, kumpulan pelajar perlu menyiapkan hasil seperti dalam bentuk produk/prototype dan menulis tesis (buku laporan) sebagai bukti kajian.
9.  Di akhirnya, kumpulan pelajar akan membentangkan hasil kajian mereka dalam  Pesta SEM Type III yang dijalankan selama setengah hari dengan persembahan pelajar kepada panel hakim mengikut kategori merangkumi aspek persembahan (presentation) selama 10 minit, menunjukkan tesis dan hasil kajian. Untuk persediaan yang baik, kumpulan pelajar akan membuat persediaan terlebih awal selama satu hari untuk membantu persembahan dengan membina display board mengikut spesifikasi yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa SEM dan selain itu sesi sumbangsaran perlu diadakan untuk membincangkan cara persembahan dalam karnival itu nanti.
10. Berikut merupakan kriteria penilaian kajian SEM yang dijalankan mengikut pecahan berikut:
a. Penilaian oleh penasihat (advisor) : 60%
b. Penilaian oleh panel hakim semasa Pesta SEM : 40%



TANGGUNG JAWAB PELAJAR

Pelajar yang menjalankan kajian SEM mempunyai tanggungjawab utama menyelesaikan kajian dan lain-lain tugasan yang diberi dalam tempoh masa yang ditetapkan. Tanggungjawab pelajar yang lain secara khususnya adalah:
a.   mengikut Jadual Perancangan Kajian yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa SEM.
b. memberitahu Jawatankuasa SEM sekiranya menggunakan khidmat pihak luar (seperti pensyarah universiti) untuk mendapatkan surat rasmi untuk menjalankan kajian.
c. kerap berhubung dengan penyelia dan memberitahu penyelia jika sekiranya berlaku perubahan skop kajian.
d. Menyerahkan bahan bertulis (tesis) kajian yang diperlukan mengikut jadual.
e. Memastikan kualiti dan hasil kerja kajian yang dikemukakan mengikut standard yang telah ditetapkan.
f. Memaklumkan kepada Jawatankuasa SEM jika berlaku masalah dalam kajian dan penyeliaan kajian dengan pihak luar.

BUKU LOG

Pemantauan Buku Log
Penggunaan buku log adalah diwajibkan. Buku ini merupakan catatan lengkap mengenai sebarang kerja yang dilakukan semasa menjalankan KPS dan hendaklah dibawa untuk setiap perjumpaan dengan penasihat dan taklimat JK SEM. Penasihat mesti mengesahkan catatan dan perjumpaan dalam buku log. Catatan dalam buku log akan menggambarkan komitmen, sikap, kemajuan dan daya usaha kumpulan pelajar dalam menjalankan kajian mereka.

Catatan dalam Buku Log mengandungi antara lain:
a. Tarikh perjumpaan dengan guru penasihat atau penyelia, perbincangan, nasihat dan arahan.
b. Tajuk, objektif, skop, rancangan kerja projek.
c. Jadual kerja dan tarikh-tarikh penting berkaitan dengan pelaksanaan dan penilaian KPS.
d. Persiapan, masalah, cadangan penyelesaian dan peralatan diperlukan.
e. Perkembangan dan kemajuan projek.
f. Data dan maklumat yang diperolehi.
g. Gambar rajah berkaitan dan bahan rujukan yang berkaitan dengan projek.

No comments:

Post a Comment